HATIKU UNTUK DIA – 6

BAB 6

SUASANA rumah pagi Isnin itu sunyi sepi. Ketika keluar dari biliknya, Reza tidak mendengar suara Qaira dan Uwais. Semalam, pagi-pagi lagi Akid datang menjemput Qaira dan Uwais. Ada sesi latihan di studio katanya. Akid pelawa Reza ikut sekali tapi Reza menolak dengan alasan ada hal. Hampir jam 12 malam, ketika Reza sudah mematikan lampu bilik, baru terdengar Qaira dan Uwais balik.

Dalam gelap, Reza mengintai ikut celah langsir. Nampak Vellfire Akid masih tidak bergerak sampai Qaira dan Uwais masuk rumah.

Hmmm… nampaknya Akid mengotakan janji, jaga kebajikan dua orang budak tu.

Tapi Reza mengharapkan dia mendengar rungutan Qaira dan Uwais, paling tidak mengadu penat atau mengantuk. Tapi sampai sudah, mereka senyap tidak berbunyi apa. Terus masuk bilik dan tidak keluar-keluar lagi.

Menyedari ketiadaan Qaira dan Uwais, tergerak hati Reza mahu memeriksa bilik mereka. Mula-mula, dibukanya pintu bilik Qaira. Bilik yang dulu pernah didiaminya sebelum mengambil alih kamar utama.

Hmm… bilik anak dara sunti. Kemas dan wangi. Reza tersenyum mengedarkan pandangan ke seluruh bilik.

Bantal peluk bentuk arnab Mashimaro bertopi merah jambu terletak elok di atas bantal. Kening Reza terjungkit sebelah bila terpandangkan Yamaha SV-130 silent electric violin warna merah hitam terdampar atas katil. Violin jenis itu membolehkan pemainnya berlatih secara senyap melalui headphones. Model itu juga mengeluarkan natural tone yang baik samada semasa latihan atau persembahan pentas.

Sungguh Reza terkejut bila melihat alat muzik pilihan Qaira. Sebagai bekas pemuzik, Reza tahu, violin adalah instrument paling sukar untuk dimainkan kerana bukan senang untuk mendapatkan bunyi yang betul pada note yang betul. Silap haribulan, akan terdengar macam kucing nak mati!

Agaknya macam mana gaya si Qai ni main violin… Tengok gaya Qaira yang innocent tu, mesti dia classically trained violinist! Reza berkata-kata sendiri dalam hati.

Lepas tutup pintu bilik Qaira, Reza mara ke bilik Uwais pula. Bilik itu asalnya bilik Alfan. Sebaik sahaja daun pintu dikuak, mata Reza terus tertancap pada objek yang tercatuk atas lipatan toto dan bantal tepi dinding.

“Astagaaaa! Dia yang lelaki pun ada patung yang sama?” gumam Reza setengah kaget melihat patung Mashimaro itu. Bezanya, patung milik Uwais bertopi biru dan kelihatan agak lusuh.

“Heh… tahulah kembar… takkan semua benda nak kena sama? Aku dengan Alfan dulu tak macam ni pun… taste lain-lain,” omel Reza sambil matanya mengitari suasana bilik Uwais.

Gitar Yamaha APX500III milik Uwais berwarna hitam, tersandar elok pada dinding. Tapi komputer riba, koleksi komik alihbahasa dari Jepun, bergelimpangan atas lantai. Baju kotor berlepek di sudut bilik. Reza geleng kepala tidak puas hati. Nampaknya Uwais memang tipikal budak lelaki yang suka sepahkan barang.

Setelah melakukan spot check sampai ke bilik air masing-masing, Reza kemudiannya turun ke tingkat bawah, menuju dapur.

Sewaktu memasuki ruang dapur, pandangan Reza terhala pada chalkboard wall tepi kabinet. Semerta dia membeku di tengah jalan. Dinding itu memang sengaja dicat dengan chalkboard paint oleh papa. Suatu ketika dulu,Reza danAlfan suka menconteng dinding tersebut sementara menemani mama memasak. Dinding itu juga tempat mama meninggalkan pesan untuk mereka.

Lebih 15 tahun lamanya chalkboard wall itu kosong tanpa sebarang tulisan. Tak pernah digunakan lagi. Tiba-tiba hari ini ada tulisan sebesar alam padanya.

Tak ayal, bibir Reza mengorak senyum saat membaca pesanan itu. Dia menoleh dan nampak satu mangkuk terlungkup atas meja dan satu teko. Reza mendekati lalu mengangkat tersebut. Agak berat. Bila Reza buka penutupnya, bau Nescafe menguar ke hidung. Rasa segar biji mata. Terjungkit kening Reza.

Qai buat Nescafe jugak?

Mangkuk yang terlungkup dialihkan. Sebentuk rasa haru menguit-nguit tangkai hatinya saat melihat empat keping sandwich tersusun cantik dalam pinggan.

Laju saja tangan Reza mencapai sekeping. Baru sekali dua mengunyah, Reza terdiam. Perlahan-lahan Reza melabuhkan punggungnya ke kerusi. Bila tiba-tiba ada orang sediakan sarapan… rasanya itulah sarapan paling lazat pernah Reza makan! Padahal sandwich itu cuma ada lapisan timun nipis, sardin dan mayonis.

Dunia kelilingnya tiba-tiba rasa cerah…

Habis makan dan minum, Reza bangkit menuju chalkboard wall. Kapur warna biru dicapai dan tanpa teragak-agak Reza menulis satu perkataan besar-besar di bawah pesanan Qaira.

Thanks!

 

+++

 

JAM enam petang, baru Qaira dan Uwais sampai ke rumah. Keletihan kerana menghabiskan masa seharian di sekolah dengan aktiviti ko-kurikulum. Masuk sahaja ke dalam rumah, masing-masing terkedang atas sofa, melepaskan lelah.

“Adoiii… Kalau hari-hari kita macam ni, boleh masak tengah jalan jawabnya…” Uwais berkeluh. T-shirt putihnya ditanggalkan. Membiar peluh di badan kering dibawa angin dari kipas siling.

“Itulah kau… Abang Akid offer nak bayarkan tambang bas sekolah, kau tak nak…”

“Ah, macam kelakar aje dah pakai seluar hijau tapi masih naik bas sekolah… tak macholah!” Uwais tersenyum menyeringai.

Flush macho kau tu dalam jamban! Sekarang penat, jangan merungut.”

“Alaa… mana nak tau rumah ni dengan sekolah, jauh. Sekali kena menapak dekat setengah. Huh, ada abang, harapkan dapat menumpang rumah aje… tapi dia tak peduli langsung pada kita!”

“Alaa… sabarlah sikit. Baru tiga hari kita duduk sini. Kita pun tak biasa lagi dengan perangai dia. Patutnya kita kena berterima kasih pada Abang Reza sudi jugak bagi kita berteduh kat rumah dia ni…”

“Kalaulah rumah arwah mama tak tergadai, takdelah kita ni duduk menumpang kat rumah orang yang kita tak kenal…”

“Tak kenal pun, dia tetap abang kita jugak…”

Uwais menoleh, tatap wajah letih Qaira.        “Ek elehh… dah mula sayang dialah tu?”

“Takdelah… tapi dia buat aku teringat kat Abang Alfan…”

“Ye ke? Aku rasa macam lain aje. Yang aku ingat dalam kepala ni, walaupun masa tu kita kecik lagi, Abang Alfan selalu ketawa dan senang senyum. Tapi Abang Reza ni… muka ketat habis. Aku rasa macam nak ambil screw driver longgarkan skru kat muka dia tu!”

“Huishhh… kau ni…” Qaira membaling bantal hiasan. Uwais sambut dengan sigap.

“Dibuatnya dalam rumah ni ada CCTV… tak pasal-pasal kita kena halau!” Qaira memperingatkan kemungkinan itu.

“Takde maknanya rumah ni ada CCTV… internet dengan telefon rumah pun tak ada!” Uwais bangun lalu menggeliat. Kemudian menepuk-nepuk perutnya.

“Laparlah tu…” Menyenget bibir Qaira dengan senyum senget.

“Tau takpe… tahap kebulur dah ni. Kakakkk… masakkan untuk adik ye?” Uwais tepuk-tepuk perut sambil mengernyit manja. Dan ketika Uwais mengipas badannya dengan t-shirt, Qaira spontan menutup hidung.

“Eeeee… Gi mandi dululah… kau tu berpeluh satu badan. Hangit tau tak?” ejek Qaira.

Pura-pura geram, Uwais melempar t-shirt itu. Melayang tepat ke muka Qaira yang tak sempat mengelak.

“Euwwww!!! Busuknya! Ini tahap kena flush dalam jamban!” Cemberut habis muka Qaira.

Sambil gelak-gelak, Uwais membalas, “Tolonglah basuh! Apa guna jadi perempuan, kan?”

Ngok-ngeklah kau ni! Lain kali belajar pakai deodorant!”

“Alaa… ini bau asli…barulah jantan namanya!” ucap Uwais begitu bangga.

“Iiihhh… Kau nak ke nanti peminat lari sebab ketiak kau bau hangit?” Makin galak Qaira mengejek.

“Kalau diorang betul minat, diorang takkan lari. Tu… kat Hollywood sana tu, Robert Pattinson yang jadi Edward Cullen pujaan hati kau tu, kau ingat wangi ke? Johny Depp pun sama, tak suka mandi… elok aje jadi pujaan berjuta perempuan serata dunia…”

Hilang nak mengenakan Uwais, sudahnya dia yang terkena. Qaira menjerit lalu mengejar Uwais. “Eeee! Suka hati kau aje tuduh Edward Cullen aku!”

Sambil gelak-gelak, Uwais bingkas berlari memanjat tangga, menuju ke biliknya. “Tuduh apanya… memang hakikatlah Robert Pattinson tu ada bau badan yang teruk! Muka senduk penyet macam tu pun kau berkenan! Vongokkk!”

“Issssss!! Jaga kau!”

Kelam kabut Uwais memulas tombol pintu biliknya. Tapi ketika kakinya menerjah masuk ke dalam bilik, dia kaku dan terkesima tiba-tiba. Sekaligus memberi kesempatan pada Qaira mencekik lehernya. Namun, tangan Qaira sontak melonggar dan perlahan-lahan dia berdiri di sebelah Uwais dengan mulut menganga.

“Eh? Bilik kau dah ada katil dengan almari! Siap ada kabinet buku untuk komik-komik kau! Meja tulis pun ada!” seru Qaira begitu teruja. Terus dia meluru, melontar diri sendiri atas katil bujang warna putih lengkap dengan cadar corak geometri.

Sedangkan Uwais tak terkata menuju almari. Ketar tangannya ketika menarik daun pintu.

“Qai! Kau tengok…!” seru Uwais, terbeku depan almari.

Qaira ikut terkesima. Bukan hanya komik-komik Uwais yang siap tersusun di rak, pakaian Uwais juga tergantung rapi dalam almari. Mana yang berlipat, tersusun elok atas para.Pakaian kotor yang dikumpulkan atas lantai, dah selamat letaknya dalam bakul di tepi pintu bilik air.

Beb… kau rasa Abang Reza ke yang buat semua ni?” tanya Uwais masih kebingungan.

“Habis tu, kau ingat siapa? Santa Claus?”

“Abang Reza belikan aku semua ni…, adakah tu bermakna… dia sebenarnya care kat kita?”

Qaira hanya mampu jungkit bahu.

 

+++

JAM 10 malam, baru Reza sampai ke rumah. Dari balik helmet, Reza mengerutkan dahi ketika melihat Vellfire milik Akid terparkir bawah porch. Visor helmet segera dinaikkan.

‘Takkan berlatih dalam rumah ni kut?’ gumam Reza dalam hati lalu turun dari superbike. Setelah menanggalkan but, dengan hati-hati dia melepaskan ikatan pada kotak yang diletakkan atas seat belakang. Masih dengan helmet tersarung di kepala, sambil mengangkat kotak, Reza melangkah masuk ke dalam rumah.

“Hoi, Reza! Kau pergi mana, hah?!” Suara lantang Akid menerjah telinga.

Tak sempat Reza membalas, Akid menyembur lagi, “Kau ni memang tak ada hati perut ke, hah? Kut ye pun kau tak suka budak-budak ni, jangan buat diorang macam sampah!”

“Hey! Apa benda kau cakap ni, bro! Aku balik penat-penat, kau berleter macam mak nenek pulak dalam rumah aku, apahal?” bentak Reza penuh kejengkelan.

Akid bangkit mendekati Reza. “Aku called, Qaira called, semua masuk voice mail. Mana kau pergi, hah?”

Handphone aku habis baterilah! Lupa bawak power bank!”

“Alasan! Kau sengaja tak nak balik awal sebab tak nak tengok muka budak-budak ni, kan? Dahlah dalam rumah kau ni, tak ada apa pun boleh dimakan! Sebutir beras pun tak ada. Uwais tu tak boleh kalau tak makan nasi. Kau tahu tak Uwais kena gastrik?” Akid menuding ke arah sofa.

Reza menoleh. Baru perasan di ruang itu, ada One dan Qaira sedang menghadap Uwais yang terbaring lesu atas sofa. Botol dan plastik ubat bersepah atas meja kopi.

“Mana aku tahu dia ada gastrik!” tingkah Reza.

“Sebab kau tak cakna!”

Wajah Reza semakin merah padam mendengar tuduhan Akid. Sahabatnya itu benar-benar membuatnya marah. Lalu Reza menghempaskan kotak ke lantai. Terdengar bunyi kaca pecah. Helmet ditanggalkan dan mata nyalang Reza terus menatap Akid.

“In the first place… aku ke yang mintak budak-budak tu datang duduk sini? Aku yang tak cakna atau kau yang tak pernah nak fikir perasaan aku?” Telunjuk Reza menekan-nekan dada Akid.

“Rilekslah Za!” One cuba menenangkan.

“Aku bukan macam Alfan yang cool! Yang boleh rileksdan senyum sepanjang masa!”

“Za! Alfan dah lama meninggal, kut! Dah lapan tahun pun. Yang kau sampai sekarang asyik bandingkan diri kau dengan dia lagi kenapa?”

Alfan dah lama meninggal… Reza ketap bibir menahan rasa ngilu yang menghiris hatinya.

“Aku dah biasa hidup seorang diri!Lepas mama tak ada, Alfan pun tinggalkan aku sebab sayangkan budak-budak ni. Sekarang kau orang tiba-tiba sumbat budak-budak tu kat rumah ni! Kau ingat aku ready ke terima semua tanggungjawab ni dalam masa dua tiga hari?! Pakai otaklah sikit!” Reza tunjal telunjuk ke tepi dahi sendiri. Dia kemudiannya merengus dan melangkah laju memanjat tangga.

Semua terdiam.

Sehingga mata Akid menyedari ada cecair hitam meleleh dari bawah kotak. Dia terkedu. Terus bertinggung dan segera menyobek kotak bersalotep itu.

Tattkala melihat isinya, Akid terhenyak atas lantai.

Botol kicap pecah!

Ada tepung, dua bungkus beras satu kilo, plastik berisi ayam yang sudah siap dipotong kecil, sayur-sayuran, nugget, dua tin susu, paket milo, roti dan telur yang beberapa biji sudah pecah akibat terhempas ke lantai.

Akid tepuk dahi, pandang One dan Qaira dengan muka bersalah. Penyesalan menghambatnya. “Allahhh… dia beli barang dapur rupanya…”

“Hmm… payah pulaklah nak pujuk dia…” keluh One, geleng-geleng kepala.

 

+++

 

“REZA…! Aku mintak maaf! Serius, kalau aku tahu kau lambat balik sebab beli barang, tak adanya aku nak ‘bambu’ kau!”

Suara Akid bergema dari luar bilik.

“Lain kali fikirlah sikit, pakai otak kau tu! Aku ni bukannya ada kereta! Ingat senang ke nak beli barang dapur bawak naik motor?”

“Aku dah mintak maaf, kan?”

“Kau pergi baliklah! Bawak budak-budak tu sekali. Aku kan tak cakna?!” teriak Reza, sakit hati tak hilang.

“Za! Janganlah buat perangai macam budak-budak! Kita dah tua kut… takkan sentap sikit dengan aku, kau merajuk macam perempuan! Tak kuasa aku nak pujuk kau tau!”

Reza tidak menyahut. Ketukan pintu bertalu-talu, tidak dipedulikannya. Reza terus menghempaskan badan atas katil, pekup telinga dengan bantal. Tidak ingin mendengar pujukan Akid.

Beberapa ketika kemudian, setelah tidak mendengar lagi suara Akid, Reza mengalihkan bantal. Perlahan-lahan, dia bangun dari katil, berjalan menuju ke tingkap.

Dari celah langsir, dia melihat Vellfire Akid berlalu pergi. Qaira melambai sebelum mengunci pintu pagar. Spontan Reza berkeluh.

Reza kembali ke katil. Tercenung seketika. Kemudian dia menarik laci meja dan mengeluarkan fail yang diberikan oleh Akid tempohari. Dari banyak-banyak dokumen penting yang ada dalam fail itu, sekeping surat ditariknya.

Surat yang telah menyedarkan dia bahawa Qaira dan Uwais adalah tanggungjawabnya.

 

Ke hadapan anakandaAlfareza bin Awaluddin,

Semoga kamu sentiasa berada di bawah lindunganNYA. Kalau surat ini sampai ke tangan kamu, bermakna, mama dah tak ada lagi di dunia ini…

Maaf, kerana telah ceroboh ke dalam kehidupan kamu dulu kini dan selamanya…

Maaf kerana telah mengambil sebahagian kasih papa kamu dari ibu kamu…

Banyak hal yang tak mampu mama jelaskan kepada kamu… soal hati dan perasaan… keinginan lelaki… Mungkin suatu masa nanti,bila kamu sendiri telah berumahtangga, kamu akan mengerti…

Dan buat mama… mama dah terima karma akibat merampas kebahagiaan orang lain. Bahagia yang mama dapat cuma sementara… Papa kamu pergi juga ikut ibu kamu berjumpa denganNYA.

Tinggalkan mama sendiri. Barah rahim yang mama hidapi, tak dapat disembuhkan lagi. Mungkin inilah yang ibu kamu rasa dulu, sakit seorang diri tanpa suami di sisi.

Sebagai tanda memohon maaf dan ingin menjernihkan semula keluarga kita… mama tinggalkan harta paling berharga dalam hidup mama buat kamu… Qaira dan Uwais. Tolong jadi abang kepada mereka sebaiknya, sebagaimana Alfanshah selalu sayang kepada mereka.

Selama ini, kamu mungkin rasa kamu hidup sendiri… tapi sebenarnya kamu ada Qaira dan Uwais.

Jangan benci dan hukum mereka, Reza. Hakikatnya mereka tetap adik-adik kamu. Mereka tak tahu apa-apa. Yang salah adalah mama dan papa kerana mengkhianati ibu kamu.

Mama yakin, kamu mampu menjadi abang sebaik Alfanshah buat mereka…

Harapan mama… agar kalian bersatu sebagai anak-anak Awaluddin…Remember, family is all that matters…

Reza merenyuk surat itu buat sekian kalinya. Dia melurut turun dari katil lalu terduduk di lantai.

“Fan… kenapa mesti aku yang dibebankan dengan semua tanggungjawab ni? Aku tak mampu jadi macam kau, Fan… Aku tak boleh nak senyum lagi dah…”

BERSAMBUNG ke novel…